Tarian Sumazau
Tarian Sumazau merupakan sejenis tarian
tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia . Ia
merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun yang sering dipersembahkan pada
Tadau Kaamatan yang bermaksud Hari Penuaian yang dirayakan di negeri Sabah pada setiap bulan Mei.
Ilham tarian Sumazau ini adalah
daripada corak penerbangan burung helang yang disaksikan petani-petani yang
berehat di sawah sewaktu musim menuai. Setiap penari yang menjayakan tarian ini
hendaklah bergerak beberapa sentimeter saja daripada penari lain tanpa
bersentuhan.
Tarian ritualnya memenuhi pelbagai
fungsi seperti tarian sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang
berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala,
menyemah semangat, dan mengubati penyakit.
Tarian ini ditarikan oleh kaum petani
terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional
mereka. Tarian ini dimainkan dengan iringan paluan gong, biasanya 6 buah gong
yang berbagai ukuran dan satu gendang dengan rentak yang khusus. Tempoh dan
rentak pukulan gong Sumazau adalah berbeza-beza mengikut daerah dan desa.
Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua
tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung,
mengikut alunan rentak yang dimainkan dengan perlahan-lahan dan lemah lembut.
Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadap hadapan dan mereka
menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan
diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar,
gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa
menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan, namun tujuan asal tarian ini
ialah untuk menyambut kedatangan "Bambaazon" (semangat padi) yang
biasa dilakukan pada selepas menuai padi.
Penari-penari Sumazau yang terdiri
daripada kaum lelaki dan perempuan biasanya memakai pakaian serba hitam yang
dihiasi dengan corak-corak menarik menggunakan benang berwarna emas. Penari
perempuan dihiasi dengan selendang serta talipinggang (tangkong) yang diperbuat
daripada duit syiling perak (trade dollars). Penari lelaki biasanya akan memaki
tanjak di samping pakaian serba hitam serta menyendang daun silad kering.
No comments:
Post a Comment